Sunday 28 July 2013

Panjang Lebar Pernikahanku

Entri ini sepatutnya telah saya coretkan Oktober 2012 yang lalu. Tapi ilham Tuhan yang baru kini kunjung tiba telah mendetikkan hati saya untuk menulis entri ini untuk tatapan pembaca yang sedang mencari satu jawapan pada pertanyaan. Walau bagaimanapun, Allah jugalah pemberi jawapan terbaik untuk setiap masalah hamba-hambaNya. Dia tahu semua.

Saya kira, masih belum terlewat buat bidadari-bidadari di luar sana yang mahukan satu cerita ikhlas berkenaan kahwin ketika belajar.

Lama juga saya fikirkan tajuk sesuai untuk entri ini. Biar lebih mudah difahami.

Usia 23 tahun, Allah telah melestarikan impian saya untuk bergelar isteri kepada suami yang berusia empat tahun lebih tua dari saya. Jujur saya katakan. Saya amat bersyukur dengan status baru yang digalas.

Sebenarnya, 23 tahun bukanlah angka usia yang awal untuk memasuki alam rumah tangga. Itu kata orang dulu yang biasa melakukan amalan ini bagi  tradisi keluarga. Namun begitu, saya dikatakan kahwin awal kerana, di era kini, rata-rata setiap individu diberikan tanggungjawab menggalas komitmen penting untuk hidup mereka. Lain tak bukan, komitmen bergelar mahasiswa.

Penghujung semester 4, bermulalah kisah cinta saya dan suami.


Saya sedar, saya semakin lagha sejak kenal dia. Saya bertanya pada junior saya, tentang hubungan ini. Biarpun muda dari saya, tapi dia lebih arif tentang agama. Malah saya kira dia lebih rasional dalam membuat keputusan. Seingat saya, selepas usrah, saya tanyakan pandangannya tentang situasi yang sedang saya alami itu. Dia cadangkan saya bertunang dulu, lepastu stop dari berhubung.

Saya cuba buat. Akhirnya kami hanya bertahan tak sampai seminggu. Telefon berdering semula.

Pada ustazah Hidayah saya tanyakan juga. Dia mengajar saya cara mengenal lelaki yang baik. Beberapa pandangan tentang kahwin sewaktu belajar tak pula saya tanya dia. Rasa tak layak bicara tentang itu.
Lepas tu isu itu tak saya fikirkan lagi. Hubungan saya dengan dia berjalan normal.

Isu kahwin tak lagi saya fikirkan waktu itu memandangkan saya dan dia berhubung pada jarak yang jauh. Saya di Kedah, dia di Selangor. Pointer saya juga semakin tinggi, berkat menyertai dan menggerakkan kumpulan dakwah Islamiah di UiTM Merbok. (Terima kasih sahabat-sahabat Kelab Iman yang banyak membimbing diri ini).

Ya, kumpulan dakwah Islamiah. Saya berfikir. Kalau saya berdakwah pada orang lain, tapi hati dan jiwa saya sendiri tidak saya jaga, bagaimanakah saya pada hemat Allah. Mungkin orang lain tak tahu saya bercinta di luar perkahwinan, tapi Allah??

Semester 6 sewaktu saya di UiTM Merbok, baru tamat praktikal. Terdetik di hati saya untuk kerja dulu, kemudian menikah, dan selanjutnya menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Pertama. Waktu itu, Allah lebih tahu kemampuan saya. Lantas Dia lorongkan saya untuk teruskan belajar. Terlintas di hati saya, kalau Allah takdirkan saya untuk belajar di Shah Alam, dialah jodoh saya (suami saya kini). Nah, Dia beri saya ujian untuk sambung belajar di UiTM Shah Alam. Allahu Akbar. Memang besar dugaan bila bercinta di jarak yang dekat.

Semester tiga bermula pengajian, kami mula berjumpa. Ketika masuk semester 4 di UiTM Shah Alam, roomate sahabat saya telah menikah. Saya semakin kerap buat kajian tentang perkahwinan muda. Artikel tentang pengalaman orang-orang yang telah berkahwin ketika masih belajar saya baca. Saya tanyakan pendapat pada sepupu yang sebaya dan belajar sama di UiTM Shah Alam. Pada sahabat-sahabat yang saya kira punya pengetahuan tentang ilmu agama, saya tanya habis-habisan. Pada pensyarah di Bahagian Kaunseling, saya ceritakan masalah saya dan meminta cadangan solusi darinya. Pada semester 6 (sewaktu sibuk menyiapkan Projek Tahun Akhir),saya memberitahu keluarga bahawa saya nekad mahu menikah. Inilah antara respon memanah yang saya perlu terima bila saya minta untuk menikah.

  • Kenapa tak boleh tunggu sampai habis study? Bagaimana kalau tercicir dalam pelajaran nanti?
  • Kalau dah kahwin, susah nak dapat kerja.
  • Lebih baik Ija cakap, apa yang Ija dah buat dengan dia, sampai terdesak sangat nak kahwin.
  • Tak malu ke, masuk kelas dalam keadaan memboyot nanti?
  • Dah gatal sangat ke, sampai terdesak nak nikah.
Astaghfirullah. Hati yang menangis di dalam, Allah yang tahu. Itulah orang kita. Semua negatif belaka. Keluarga saya semacam tidak mengenal saya. bukan saya nak beritahu yang saya ni bagus sangat, tapi, seharusnya keluarga patut tahu siapa saya di belakang mereka. 

Saya buat istikharah lagi. Solat malam cuba saya kerapkan. Moga-moga Allah beri petunjuk pada saya. Minta Dia jauhi saya dari membuat keputusan berlandaskan nafsu semata-mata. 

Alhamdulillah. Walaupun saya tak selalu beristikharah, tapi tahajud yang saya lakukan boleh dikatakan setiap malam nampaknya memberikan satu sinar cahaya tentang apa yang sepatutnya saya lakukan. Allah tahu, kenapa hati saya meronta-ronta mahu menikah. Dia yang ciptakan saya, maka Dia jugalah yang tahu apa yang ada dalam hati saya.

Semester 6 berakhir. Takdirnya, saya perlu repeat FYP. Semester 7 saya mulakan azam baru.

"Bercinta hanya datang dari redha Allah. Maka kejayaanku juga akan muncul bersamanya. InsyaAllah."

Berkat tekad dan azam yang tinggi, akhirnya tanggal 27 Oktober 2012 bersamaan 10 Zulhijjah 1433 (Hari Raya Haji) aku dan suami selamat diijabkabulkan oleh imam Masjid Puteh di USM Nibong Tebal.

Tak tahu bagaimana nak ceritakan perasaan masa tu. Lega dan gembira. Akhirnya konflik hatiku selama ini berakhir.

Bila sudah menikah, aku rasakan :-

Ilmu yang aku tuntut di UiTM Shah Alam ini akan semakin berkat (buktinya aku sudah selesai FYP pada semester 7 berkat dorongan dan pertolongan insan yang sudah halal untukku).
Halalkah jika aku meminta pertolongannya untuk menghantarku ke tempat temubual stakeholder FYP? Berkatkah perjalanan itu?

Sifat burukku seperti tak menepati masa dan suka bertangguh semakin terhapus gara-gara perlunya pengendalian masa yang betul. Maklumlah, dulu sewaktu jadi student sepenuh masa, kalau balik dari kelas, aku boleh memerap je dalam bilik asrama. Boleh surfing internet sambil menikmati makanan yang dibeli da cafe. Tapi lepas kahwin, kenalah belajar membahagikan masa dengan masa dengan betul dan saksama. Belajar, kemas rumah, memasak ( hmmm.., secara tak langsung aku dapat tingkatkan ilmu memasak).

Aktiviti tidur yang berleluasa sewaktu menjadi mahasiswa sepenuh masa dapat dibendung. (Lepas suami pergi kerja, aku dah tak tidur lagi. Biasanya, aku akan mengemas dan study untuk projek FYP).

Solat yang dilakukan sehari-hari dirasakan semakin puas dan bermakna. Maklumlah, kita dah tak buat lagi perkara-perkara yang Dia murka. Seronok dan bahagia rasanya bila setiap yang kita buat, Allah suka. Kalau dulu, belajar dapat pahala, solat dapat pahala, mengaji Quran dapat pahala. Tapi pada masa yang sama, berjumpa dengan teman lelaki bukan muhrim dapat dosa, message (yakin ke yang semua message kite tu tak ada unsur lagha??? - nak tak nak, dah dapat dosa lagi), calling2 berdosa.. Tambah-tolak dosa pahala, akhirnya apa kesimpulan ganjaran Allah terhadap amalan kita. Bila dah kahwin, jumpa suami, layan suami, masak untuk suami, bersolek untuk suami, semuanya dapat pahala. Malaikat pun berdoa untuk kita. Nikmat belajar, solat, mengaji Quran dah tak dapat digambarkan.

Satu kenikmatan yang tak dapat diungkapkan bila dapat solat jemaah dan bertadarus dengan suami, orang yang sangat-sangat kita cinta. Allah saja yang tahu. Bila setiap kali sebelum tidur, kita dapat bermuhasabah diri bersama-sama dengan orang yang kita cinta. Allah saja yang tahu bagaimana nikmatnya.

Jadi, ketahuilah wahai perempuan-perempuan dan lelaki-lelaki yang beriman di luar sana. Janganlah kita-ragu-ragu untuk menapak mendekatkan diri kepada Allah. Sekali kita melangkah, 10 kali Allah melangkah kepada kita. Hak Allah perlu diutamakan berbanding hak lain. InsyaAllah...




No comments:

Post a Comment